Ketua jurulatih Laos, Michael Weiss menyifatkan barisan pemain Malaysia kali ini cukup berkualiti walaupun tanpa kelibat beberapa tonggak utama daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau berkata demikian dalam sidang media semalam dan membayangkan anak buahnya berdepan tugas sukar apabila bakal menentang skuad kendalian Kim Pan-gon dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

“Walaupun pasukan anda kehilangan semua pemain dari JDT tetapi masih mampu membentuk barisan mantap dan mempunyai pemain lain yang hebat, itu bermakna Malaysia ada liga yang terbaik dari peringkat akar umbi hingga profesional.

“Malaysia juga persaing yang lebih kuat untuk merebut gelaran juara Piala AFF. Jadi ya, saya fikir mereka adalah sebuah pasukan yang berkualiti.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan Malaysia salah satu negara yang berpotensi untuk menjulang kejuaraan Piala AFF. Ini kerana saya telah mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia hampir 10 tahun,” katanya.

Jurulatih dari Jerman itu kemungkinan akan bermain dengan corak bertahan menentang Harimau Malaya malam ini selepas tewas besar 0-6 kepada Vietnam dalam perlawanan pertama kumpulan B.

“Secara keseluruhan, kami perlu bermain lebih kompak dan ketatkan lagi barisan pertahanan untuk tidak membenarkan mereka bergerak bebas. Saya harap tidak bolos lebih awal kerana kalau mereka mendapat rentak, ia akan jadi lebih sukar,” jelasnya.

Weiss juga mengakui pasukannya agak tempang kerana ada beberapa pemain masih mengalami kecederaan dengan kesebelasan terbaik hanya dapat ditentukan sebelum saingan bermula.

“Kita baru tiba malam tadi (semalam) dan ada beberapa pemain masih lagi perlu dipantau kerana mengalami kecederaan. Namun, saya percaya motivasi mereka untuk berikan yang terbaik buat negara masih membara meskipun tewas besar kepada Vietnam sebelum ini,” katanya.